Thursday, 15 May 2008

Paderi yang insaf


Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialaminya. Katanya, "Menurut kebiasaanku, aku keluar menziarahi kota Mekah tanpa kenderaan dan kabilah. Pada suatu hari, tiba-tiba aku tersesat jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang rahib Nasrani (Paderi Kristian)." Bila dia melihat aku dia pun berkata, "Wahai rahib Muslim, bolehkah aku bersahabat denganmu?".


Ibrahim segera menjawab, "Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu." Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku, katanya, "Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahawa aku telah menderita kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada padamu." Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun bermohon kepada Allah dengan berkata, "Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah engkau memalukan aku di hadapan seteru engkau ini".


Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari langit berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka mereka pun makan dan minum bersama dengan seronok sekali. "Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah tiga hari tiada makanan dan minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu, "Wahai rahib Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan yang ada pada kamu. Rahib itu terus berdoa, tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit seperti yang diturunkan kepadaku dahulu".


Sambung Ibrahim lagi, "Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun berkata kepada rahib itu, Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku akan makan sehingga engkau memberitahukan (hal ini) kepadaku." Jawab rahib itu, "Wahai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka jatuhlah telekan makrifah (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau. Sesungguhnya aku telah membuang masa di dalam kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang teguh kepadaNya. Dengan kemuliaan engkau, tiadalah Dia memalukan aku. Maka terjadilah kejadian yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan ucapan seperti ucapanmu (kalimah syahadah)".


"Maka sukacitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu. Kemudian aku pun meneruskan perjalanan sehingga sampai ke kota Mekah yang mulia. Setelah kami mengerjakan Haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di Masjidil Haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi Kaabah." Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun berkata, "Wahai Ibrahim, sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan Allah, maka peliharalah kamu akan persahabatan dan persaudaraanku denganmu".


Sebaik sahaja dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pulang ke rahmatullah. Seterusnya Ibrahim menceritakan, "Maka aku berasa amat dukacita di atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan hal-hal pemandian, kapan dan pengebumiannya. Apabila malam tiba aku telah bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan yang begitu cantik sekali tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang indah." Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya, "Bukankah engkau ini sahabat aku kelmarin, apakah yang telah dilakukan oleh Allah terhadap engkau?".


Rahib itu menjawab, "Aku berjumpa Allah dengan dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan diampunkanNya, semua itu kerana aku bersangka baik kepadaNya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di dunia dan berhampiran dengan engkau di akhirat." Begitulah persahabatan di antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama itu akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang dahulunya beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan kebaktian kepada Allah, maka dia ditarik kepada Islam dan mengikuti ajaran-ajarannya."

4 comments:

cik tun teja said...

sesungguhnya Allah akan memberi hidayah kepada sesiapa yg dikehendakiNya..Maha Suci Allah yang besifat Maha Pengasih lagi Maha Pengampun!

zool irfan said...

insaf sekejap

Kakak Tiri said...

Alhamdulillah... pulang ke pangkal jalan.

_ said...

مرحبا ،
واريد ان اقول لكم عن عظيم الموقع وجدت. إنهم لا يدفعون لي لقراءة البريد الالكتروني وزيارة المواقع على شبكة الانترنت وأكبر من ذلك بكثير.
انها مجانيه وسهلة للانضمام الى تسجيل الدخول! انقر فوق هذا الارتباط لزيارة :

http://www.ft-mails.com/pages/index.php?refid=chuach2008

اشترك لكسب المزيد النقدية الآن!