Wednesday 12 January 2011

Jejak kasih... (Bahagian 1)

Salam,

Kadangkala bila aku duduk berseorangan, aku akan mengimbau kembali memori-memori silam yang pernah terjadi sepanjang hidupku. Salah satunya yang menarik bagiku adalah ketika aku mengikuti pengajian Diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis suatu ketika dahulu. Di akhir semester ke 5, kami diwajibkan untuk menjalani latihan pratikal bagi memenuhi keperluan kursus. Alhamdullilah, aku telah berjaya mendapat tempat di bahagian pemprosesan bagi kilang simen, CIMA Industries yang terletak di Bukit Ketri, Perlis. Bahagian yang aku ditempatkan ini banyak membuka mindaku mengenai kerja-kerja teknikal yang dijalankan di situ, memandangkan sebelum ini pengetahuan aku lebih kepada teori semata-mata. Pengalaman ini bukan menjadi teras kepada entriku ini, tetapi kepada suatu peristiwa yang lain.

Sumber gambar: Blog ini

Ketika menjalani latihan praktikal tersebut, aku telah menyewa sebuah rumah kampung yang kecil di Arau dan tinggal bersama dengan dua orang lagi rakan sekursusku. Sukar untuk dipercayai, tetapi kadar bayaran sewa bagi rumah tersebut cuma RM60 sahaja sebulan (ketika itu pada tahun 1999). Jadi, ianya tidak membebankan bagi kami yang tinggal bertiga, lebih-lebih lagi ketika itu tiada istilah pinjaman PTPTN seperti yang terdapat sekarang. Aku hanya mengharapkan duit dari familiku, itupun aku tidak sanggup untuk meminta dengan banyak, memandangkan aku masih mempunyai adik-beradik yang ramai dan masih belajar di universiti dan sekolah. Tambahan pula, ibuku tidak bekerja, dia hanyalah seorang surirumah sepenuh masa. Aku telah dijanjikan untuk menerima elaun dari kilang tersebut sebanyak RM150 sebulan, tetapi bayaran elaun tersebut akan dibayar di penghujung latihan praktikalku.

Sumber gambar: Sini

Suatu ketika di bulan pertama latihan praktikalku, ada seorang rakan perempuan sekursus denganku dan tinggal tidak jauh dari rumah sewaku datang berjumpa denganku untuk mengirimkan RM100 buat seorang lagi rakan perempuan sekursusku yang kebetulan membuat latihan praktikal di kilang yang sama. Kawanku itu ingin meminjam duit tersebut bagi membayar duit sewa rumahnya. Aku telah berjanji untuk menyerahkan amanah tersebut kepada orang berkenaan pada kemudian harinya. Duit yang tersimpan di dalam sampul yang sudah berlipat-lipat itu telah aku masukkan ke dalam poket seluar belakang jeansku yang ku gantung di dinding rumah sebelum aku masuk tidur. Keesokan paginya, seperti biasa, aku terpaksa keluar awal dari rumah untuk berjalan agak jauh sedikit untuk sampai ke jalan utama bagi menaiki bas ulang-alik Arau ke Kangar. Sebaik sahaja sampai di bandar Kangar, aku terpaksa menaiki sebuah lagi bas untuk ke kilang tersebut. Ketika dalam perjalanan, aku asyik memikirkan tentang objektif yang perlu aku lakukan bagi hari tersebut. Ketika waktu makan tengahari di kantin kilang, aku terserempak dengan rakan sekursusku itu yang ditempatkan di bahagian yang lain, dan aku terus menghampiri untuk berjumpa dengannya. Aku memaklumkan bahawa kawannya semalam ada mengirimkan sejumlah wang kepadaku untuk diserahkan kepadanya. Ketika aku menyeluk poket belakang jeansku itu, aku amat terkejut sekali kerana sampul duit tersebut telah tiada, dan aku baru perasan yang bahagian poket tersebut memang terdapat koyakan besar di bahagian bawahnya. Sebelum ini, pernah segenggam kunci-kunciku terjatuh dari poket tersebut. Menyedari kehilangan sampul tersebut, aku berkata kepada kawanku itu, yang kemungkinan aku telah tertinggalnya di rumah, dan dengan tidak langsung menjamah makan tengahari aku telah tergesa-gesa untuk kembali ke rumah sewaku dengan menaiki bas. Aku telah periksa dengan teliti setiap langkah yang telah aku gunakan untuk sampai ke kilang tersebut dari rumah sewaku itu, dengan harapan untung-untung dapat aku berjumpa kembali dengan sampul surat berwarna putih tersebut. Tetapi hampanya, aku tidak menemui sampul tersebut dan aku kembali semula ke kilang. Di akhir waktu bekerja, aku telah berjumpa kembali dengan rakanku itu dan menerangkan hal yang sebenarnya. Aku berjanji untuk membayar duit tersebut dengan secepat mungkin kepadanya memandangkan ianya amat penting baginya ketika itu.


Petang itu ketika di dalam perjalanan pulang ke rumah sewaku, aku asyik memikirkan tentang cara-cara untuk mendapatkan duit bagi diberikan kepadanya. Ketika sampai di bandar Kangar, aku telah menaiki bas untuk pulang ke Arau dengan agak awal, ketika itu bas tersebut masih kosong dan aku duduk bersandar dengan merenung keluar dari tingkap bas. Ketika bas tersebut hampir penuh dengan penumpang, aku perasan yang seorang wanita duduk di sebelahku, sekali imbas aku bayangkan yang dia kemungkinan berumur di antara pertengahan 20an atau awal 30an. Tetapi cara-cara untuk mendapatkan duit lebih aku fikirkan ketika itu. Aku terus duduk membisu dengan merenung keluar sambil kadangkala aku memandang ke lantai bas. Pada ketika itu, aku rasa langkah terakhir yang aku ada adalah dengan meminta duit dari ayahku, tapi aku rasa tindakan itu sangat-sangat tak patut untuk aku lakukan, sebab kecuaian ini berpunca dari diriku. Kalau aku nak pinjam duit dengan kawan-kawanku, mungkin mereka akan berikan, tetapi bila memikirkan ada yang sesetengahnya tidak mendapat bayaran langsung untuk menjalani latihan praktikal (yang mana mendapat tempat di jabatan-jabatan kerajaan), aku abaikan sahaja idea tersebut. Pada ketika itu, nilai RM100 adalah sangat tinggi, lebih-lebih lagi bagi seorang yang bergelar seorang pelajar seperti aku. Aku terus diam membisu..... buntu bagi memikirkan jalan penyelesaiannya... dan perjalanan untuk sampai ke rumah sewaku masih jauh lagi...

Gambar yang tiada kena mengena dengan cerita di atas...

4 comments:

nazayiena said...

x sabar nak tahu kisah selanjutnya....

noa said...

arghhh tension2 nak lagi nak lagi

cepat sambung tauuuu

yaya|azura said...

tak sabar nak tau pasal wanita yang duduk bersebelahan dalam bas tu. Hehehe.

fifahnazri said...

Punya la syok baca tetiba takde ending... alamak!