Thursday, 13 January 2011

Jejak Kasih... (Bahagian 2)

Bas tersebut meneruskan perjalanan dan sekali sekala akan berhenti untuk menurunkan penumpang. Dapatku lihat penumpang yang berdiri semakin lama semakin berkurangan, mungkin mereka lebih gemar untuk berdiri jika hendak turun dari bas bagi perjalanan yang singkat. Entahlah.....

"Adik ok tak?", tegur wanita yang duduk disebelahku secara tiba-tiba.

"Hah?", jawabku perlahan antara sedar tak sedar.

"Adik ada masalah ker?", dia bertanya lagi.

"Takde", jawabku ringkas sambil melemparkan satu senyuman.

"Bukan apa, Akak tengok dari tadi macam adik risaukan sesuatu jer", balasnya.

"Takde apa-apa Akak, saya ok", jawabku dengan pantas.

"Nama adik siapa?", dia cuba untuk membawa mindaku pergi.

"Nabil", jawabku.

"Nabil ni memang orang Perlis ke?", soalan seterusnya dari dia.

"Tak, saya orang Selangor".

"Selangor kat mana?", tanyanya yang ingin merancakkan lagi perbualan di antara kami.

"Kat Kajang".

"Masih belajar lagi?", soalannya yang bertukar topik.

"A ah", jawabku ringkas seperti biasa.

"Belajar kat mana?", tanyanya lagi.

"Kat ITM Perlis". (Masa tu nama ITM belum lagi ditukar ke UiTM).

"Ambil kursus apa?"

"Saya buat Diploma Kimia Perindustrian", jawabku yang ingin juga untuk melupakan masalah yang aku hadapi buat seketika.

"Kursus baru ke? Akak tak pernah dengar pun."

"Yer, saya batch yang ke empat", jawabku sambil tersipu-sipu malu.

"Baguslah, selagi ada peluang untuk belajar, Nabil belajarlah bersungguh-sungguh. Jangan jadi macam Akak yer", selepas dia berkata demikian, dia seolah-olah tidak mahu menyambung perbualan lagi.

Aku tidak menjawab, cuma menganggukkan kepala sahaja dan di dalam masa yang sama aku rasa tergamam  di dalam hati dengan ayat terakhir wanita tersebut.

Keadaan menjadi sunyi buat seketika... Aku hanya menjawab kesemua soalan-soalannya sahaja, tiada satu soalan pun dari diriku yang ingin ditujukan kepadanya.

"Oklah Nabil, rumah Akak lagi dua perhentian jer", dia berkata secara tiba-tiba kemudiannya.

"Kalau Nabil tak nak ceritakan masalah Nabil kat Akak sekarang ni takpe. Nabil boleh cerita lain kali", katanya sambil tersenyum. Dia seperti tahu aku menyembunyikan kerisauanku darinya.

Aku tidak berkata apa-apa. Juga tiada reaksi langsung dariku.

"Oh, sebelum terlupa, nama Akak, Kak Shu", tambahnya lagi.

Sebelum dia turun dari bas, dia sempat untuk menghulurkan satu kad nama kepadaku. Ku lihat kad tersebut dengan sekali imbas. Shuhaila bt ..... (aku dah betul-betul tak ingat akan nama ayahnya, sedihnya), tertera nama tersebut di bahagian atas kad itu. Agen Kurnia Insurans Kangar, sedikit lagi info yang dapat ku tangkap di kala itu. Nombor telefon pejabatnya juga turut disertakan. Oh ya, namanya seakan-akan nama kakak kandungku, cuma nama kakakku dieja sebagai Shuhaiella. Kad namanya itu kemudiannya aku simpan dengan rapi di dalam poket kemejaku.

Aku sempat untuk mengucapkan terima kasih dan melambai kepadanya sebelum dia hilang dari pandanganku di dalam bas. Aku mampu untuk tersenyum sendirian ketika itu. Pasti riak wajahku ketika itu tidak dapat menyembunyikan apa yang tersimpan di dalam hatiku. Mungkin sesiapa sahaja yang memandangku ketika itu akan menganggap aku mempunyai masalah...

Aku berasa sedikit lega apabila dapat berbual dengan seseorang pada ketika itu. Rasa seperti seorang pendamping ketika aku benar-benar perlukan orang seperti itu. Tidak lama kemudian, aku pun turun di perhentian yang terletak paling hampir dengan rumah sewaku.

Ketika turun sahaja dari bas, perasan gusar itu datang kembali secara tiba-tiba. Alangkah indahnya jika semua itu adalah mimpi semata-mata. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasan berkecamuk di dalam hati yang aku rasakan ketika itu. Perutku juga sudah sekian kalinya berbunyi, memandangkan aku tidak menjamah apa-apa makanan pun sejak waktu tengahari tadi. Dengan langkah yang begitu berat, aku menggagahi jua untuk menuju ke rumah sewaku.....

(bersambung)


2 comments:

nazayiena said...

sambung lg....

noa said...

sambung lagiiii??? benci

ni nak lawan sinetron ke ape ni